Dalam penulisan
agung “Ihya’ `Ulum al-Din” karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali, beliau
telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu. Dalam
penulisannya, beliau telah mengenalpasti 10 panduan yang boleh dijadikan asas
pedoman kepada para pelajar. Asas-asas ini perlu dihayati dan dicernakan dalam
diri para pelajar dalam usaha mereka menuntut ilmu sama ada di peringkat rendah
atau di peringkat pengajian tinggi.
Pertama, menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang
murni, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan
jiwa yang sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu dicemari
dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan kemurnian hati dan jiwa
menyebabkan pelajar tersebut sukar untuk menguasai ilmu. Ini kerana secara
prinsipnya, ilmu itu bersifat suci. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran
yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang musyriq
itu najis” (at-Taubah:28).
Istilah najis yang dijelaskan
oleh al-Quran merupakan simbolik yang mengertikan sifat kotor tersebut mesti
dijauhi dan dihindari disebabkan sifat tersebut dapat merusakkan manusia.
Kedua, para pelajar disarankan tidak terlalu terikat dengan hal-hal
keduniaan yang berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan
perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan
pelajar tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar yang hakiki dan
memalingkan fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Hal ini sebagaimana yang
dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Allah sekali-kali tidak
menjadikan bagi seseorang dua organ hati dalam rongganya” (al-Ahzab:4).
Oleh yang demikian, sekiranya
fikiran para pelajar dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh mencemari
mentalitinya menyukarkan untuk mengetahui hakikat ilmu. Menurut Imam
al-Ghazali, “Seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu secara sebahagian,
melainkan ia memberi perhatian dan tumpuan yang sepenuhnya”. Beliau memberi
perumpamaan terhadap pemikiran yang dipengaruhi oleh hal-hal yang tidak berkait
dengan ilmu seperti air yang mengalir dari sungai kecil, sebahagiannya diserap
oleh tanah dan sebahagian lagi diserap oleh udara sehingga tidak ada lagi yang
sampai ke ladang.
Ketiga, para pelajar tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak
terhadap golongan intelektual dan guru. Adalah menjadi kewajipan pelajar untuk
menyerahkan segala urusan berkaitan ilmu dan mematuhi serta menghormati guru
seperti orang sakit yang mematuhi arahan dan nasihat doktor. Para pelajar
dituntut bersifat rendah diri, baik sangka dan setia kepada guru serta sedia
menawarkan perkhidmatan kepadanya. Oleh yang demikian, pelajar tidak boleh
bersikap sombong dengan guru seperti tidak mengambil manfaat ilmu yang
disampaikannya dengan alasan antaranya, beranggapan guru tersebut tidak
mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Sikap seperti ini menunjukkan
kebodohan dan kedangkalan pemikiran yang ada dalam diri seseorang pelajar.
Sebaliknya, para pelajar seharusnya merasa terhutang budi terhadap guru yang
mencurahkan ilmu yang memandunya ke arah kebenaran.
Keempat, orang yang bersifat tekun dalam menuntut ilmu pada tahap
awalnya perlu mengelakkan diri mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat di
kalangan manusia sama ada yang melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu akhirat.
Secara rasionalnya, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap disiplin ilmu
yang baru dipelajarinya dan membantutkan usahanya untuk membuat penyelidikan
yang mendalam. Namun begitu, bagi seseorang yang telah menguasai sesuatu bidang
disiplin ilmu secara mahir dan mendalam tidak menjadi halangan untuk mengkaji
perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, perbezaan pendapat
tentang sesuatu perkara merupakan salah satu daripada metodologi medan
penyelidikan ilmu.
Kelima, seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin
ilmu yang terpuji melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin.
Sekiranya faktor usia mengizinkan untuk menuntut ilmu, ia harus mengambil
peluang untuk meningkatkan kepakarannya ke peringkat yang lebih tinggi.
Sebaliknya jika faktor usia menjadi kekangan terhadap usaha menimba ilmu
pengetahuan maka seseorang itu perlu mengetahui perkara asas dan penting dalam
ilmu yang dikuasainya berdasarkan kemampuannya.
Keenam, tidak memaksa untuk menguasai semua disiplin ilmu secara
sekaligus. Tindakan yang bijak ialah dengan menguasai sesuatu bidang ilmu itu
mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada
pada diri seseorang. Kompetensi yang ada pada manusia adalah terbatas oleh
pelbagai faktor dari aspek pengalaman, realiti semasa, kepakaran dan keupayaan
mentaliti seseorang.
Ketujuh, seseorang tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu
sebelum menguasai dan memahami dengan mahir cabang ilmu yang sebelumnya. Ini
kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat antara satu sama
lain. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pelajar memahami sesuatu ilmu
dengan tertib dan tersusun maka ia dapat menguasai sesuatu konsep ilmu dengan
baik. Pemahaman manusia tentang konsep ilmu akan lebih sempurna dan konsisten
jika setiap cabang ilmu dihadam dan dicernakan mengikut tahap-tahap dan fasa
yang tersusun dan terancang.
Kelapan, seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif
sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai sesuatu
kepentingan ilmu dan faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut dapat
diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat. Matlamat
utama ilmu yang dipelajari itu tidak bertentangan dengan syariat dan membawa
kemudharatan kepada umat manusia.
Kesembilan, para pelajar perlu bersikap ikhlas dalam menuntut ilmu.
Kepentingan nilai ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa seseorang yang
bersifat riak dan takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia yang berilmu
memiliki jiwa yang bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Meskipun
manusia dituntut menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu yang berkaitan
dengan keduniaan tidak boleh diabaikan, kerana ia sebahagian daripada fardhu
kifayah. Dalam era globalisasi ini, ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu
kifayah sangat penting bagi masyarakat Islam kerana ia dianggap sebagai satu
kemaslahatan ( keperluan ) yang perlu dikuasai oleh umat Islam. Sekiranya
manusia mengabaikan bidang disiplin ilmu ini menyebabkan umat Islam ketinggalan
dalam zaman yang serba canggih. Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:
“ Allah akan meninggikan
orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu
pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”
(al-Mujadalah:11)
Kesepuluh, setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang
dipelajari bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan
daripada ilmu yang berbentuk sampingan. Keutamaan ilmu ini penting kerana ia
dapat mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara. Di samping itu, ia
menjadi asas utama untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain disebabkan ia
mempunyai kesinambungan di antara satu cabang ilmu dengan disiplin ilmu yang
lain.
Berdasarkan
garis panduan yang telah diberikan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam
kitabnya “Ihya’ `Ulum al-Din” diharapkan dapat memberi pedoman yang berfaedah
kepada mereka yang bergelar pelajar. Mutiara kata-kata yang dicurahkan oleh
ulama’ silam perlu diambil perhatian dan diamalkan oleh individu yang bergelar
pelajar, agar ilmu yang dipelajari diberkati oleh Allah dan dapat memberi
faedah besar kepada umat sejagat.
The best casino games and bonuses, the rules and top casino
ReplyDeleteHere's 광주광역 출장안마 a rundown of everything 광명 출장안마 you need to know about slots, 양산 출장마사지 table games and the casino bonus codes. What are online 안동 출장마사지 casino slots? 나주 출장마사지 What is a